Kedatangan bulan Ramadan tahun ini membawa cabaran yang lebih hebat kepada seorang penjual teh dan keluarganya.
Ini kerana, Mohammed Shakeel sekeluarga perlu mempertimbangkan satu keputusan penting sama ada untuk membenarkan pakar-pakar bedah neurologi terkemuka di dunia melakukan pembedahan untuk memisahkan anak kembar Siam kesayangan mereka, Sabah dan Farah yang bercantum di bahagian kepala.
Para doktor telah menjelaskan secara terperinci kepada Shakeel bahawa pembedahan itu perlu dilakukan sekarang, ketika tempurung kepala anak kembar perempuannya itu masih lembut dan jantung mereka masih kuat.
Jika ditunggu lebih lama, jelas doktor berkenaan, anak kembar itu dikhuatiri menghadapi risiko yang lebih besar, dengan peluang mereka untuk hidup agak tipis.
Shakeel, seorang penganut Islam yang berpendapatan tidak sampai AS$1 (RM3.70) sehari dengan menjual teh di sebuah stesen kereta api di Patna, bagaimanapun berserah kepada takdir.
``Biarlah Allah yang menentukannya,'' kata Shakeel kepada para pemberita semalam di Hospital Appollo di New Delhi, di mana pasangan anak kembarnya diperiksa oleh pakar bedah neurologi Amerika Syarikat (AS), Benjamin Carson, seorang pakar yang dikenali dengan kemahirannya dalam memisahkan anak kembar Siam.
``Kami akan pulang dan akan menghormati bulan Ramadan.
``Sepanjang bulan Ramadan ini, kami akan berdoa kepada Allah supaya memberi petunjuk kepada kami. Selepas itu kami akan membuat keputusan,'' kata Shakeel dalam bahasa Hindi.
Carson, yang mengetuai unit pembedahan neurologi pediatrik di Pusat Perubatan Kanak-kanak Johns Hopkins di Baltimore, Maryland, mengaku pembedahan itu memang berisiko tinggi tetapi yakin beliau boleh memisahkan Sabah dan Farah.