Entry: ::DALAM NEGERI Sunday, December 04, 2005



Alias azam jadikan UDIM cemerlang

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Naib Canselor pertama Universiti Darul Iman Malaysia (UDIM), Prof. Datuk Dr. Alias Daud berkata, beliau akan berusaha menjadikan universiti awam pertama di Terengganu itu, sebagai sebuah universiti yang relevan dalam konteks keperluan dan pembangunan negara.

Anak jati Terengganu dari Jerteh itu berkata, bagi memenuhi wawasan itu, perancangan yang rapi perlu dibuat supaya UDIM dapat mencapai standard, yang tinggi sebagai sebuah universiti yang mampu menyediakan sumber bagi pembangunan negara.

``Kita kena mula dari awal membuat perancangan rapi dari segi rancangan jangka pendek dan rancangan jangka panjang bagi mencapai sasaran itu,'' katanya ketika dihubungi hari ini.Kita perlu relevan bukan sahaja dari segi kursus yang disediakan tetapi juga aktiviti penyelidikan, pengajaran, dan pembelajaran yang menjadi tunjang utama sesebuah universiti,'' katanya.

Alias yang berkelulusan ijazah pertama dan ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam bidang sains dan fizik dari Universiti Salford Manchester, England berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi mencapai wawasan itu.Mengenai pelantikannya itu, Alias memberitahu beliau mengetahuinya pagi ini dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan kepadanya.

``Saya tidak jangka dilantik sebagai Naib Canselor universiti itu sehingga dimaklumkan pagi ini,'' katanya.Ketika ditanya mengenai tugasnya, Alias berkata, beliau akan menunggu surat pelantikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Shafie Mohd Salleh mengumumkan pelantikan Alias itu pada sidang akhbar selepas menyampaikan diploma kepada 484 graduan pada konvokesyen Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Shafie berkata, Alias bertanggungjawab menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi melantik pegawai sokongan universiti itu, termasuk bendahari dan pendaftar sebagai persediaan untuk memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajar universiti itu pada Jun depan.

Pelantikan tenaga pengajar dan pensyarah akan dibuat oleh Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) universiti tersebut selepas itu.

Alias berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan kakitangan universiti bagi menjadikan universiti itu sebuah universiti yang cemerlang.Ketika ditanya mengenai pengalamannya, Alias yang mempunyai lima orang anak berkata, beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan bersama Universiti Malaya (UM) pada 1980.

``Sebaik-baik tamat pengajian dengan ijazah pertama di Universiti Salford pada 1980 saya menyertai UM sebagai tutor.Saya melanjutkan pelajaran di peringkat Ph.D di universiti yang sama dalam bidang fizik dan kembali menyertai UM.Saya sangat sayangkan UM kerana banyak kenangan dan pengalaman saya selama 25 tahun bersama universiti ini,'' katanya.Alias juga berkata, beliau pernah memimpin Institut Perkembangan Penyelidikan dan Perundingan UM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UM dua tahun lepas.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments