Entry: Tentang Bulan Saturday, April 01, 2006



SEWAKTU rombongan media dari Kuala Lumpur tiba ke lokasi penggambaran filem Tentang Bulan di sebuah perkampungan bernama Kampung Beseri Dalam di Perlis, pengarah Ahmad Idham sedang sibuk mengarahkan babak satu majlis perkahwinan.

Sambil menghadap monitor, sesekali kedengaran dia bersuara memberi arahan melalui walkie-talkie yang dipegang.

Relaks sekali Ahmad Idham mengarah walaupun dia berada di bawah terik mentari. Namun ketika wartawan menemuinya ketika krew penggambaran itu berhenti rehat, dia memberitahu filem ketiga arahannya itu amat menguji kesabarannya.Ketahanan mentalnya tercabar terutama apabila dia berhadapan dengan babak yang melibatkan lima watak utama yang dipegang oleh kanak-kanak berusia antara 11 tahun dan 12 tahun.

“Bukan mudah mengarah kanak-kanak. Mereka ada perangai masing-masing... kadang-kadang masa kita nak mulakan penggambaran, masa itulah mereka nak makan... masa itulah nak migrain dan macam-macam,” kata Ahmad Idham sambil ketawa.Namun kerana dia mempunyai pengalaman mengarah kanak-kanak dalam filem Tipah Tertipu (yang bakal ditayangkan Jun ini), jadi ia tidaklah terlalu sukar bagi pengarah muda itu.

“Oleh kerana mereka ini budak-budak, kita pun tak bolehlah terlalu berkeras dengan mereka atau menjadi terlalu garang.Jadi, saya gunakan psikologi untuk melayan setiap kerenah mereka. Walaupun tak garang, ada masanya kita perlu tegas dengan mereka.Dan sepanjang penggambaran ini, saya berpuas hati dengan lakonan mereka kerana masing-masing mampu memberikan apa yang saya ingini,” jelasnya yang telah pun memulakan penggambaran filem itu di Perlis sejak awal Mac lalu.

Menurut Ahmad Idham, Perlis menjadi lokasi pilihan untuk filem berbajet RM1.5 juta itu memandangkan negeri kecil di utara Semenanjung itu masih kekal keaslian pemandangan desanya dan bersesuaian dengan ceritanya yang berlatarkan tahun 1980-an.

“Selain pemandangannya yang indah, terdapat banyak rumah lama di kawasan itu serta tempat-tempat pelancongan menarik.Gua-guanya serta air terjun merupakan antara keindahan pelancongan negeri Perlis yang kita serapkan dalam filem ini.Ia bersesuaian dengan cerita Tentang Bulan yang mengisahkan tentang kehidupan kanak-kanak di kampung,” jelasnya yang turut menerima kunjungan tetamu istimewa dari Istana Perlis iaitu anakanda Yang di-Pertuan Agong yang mesra dipanggil Tengku Puteri bersama suami dan anaknya.

Sokongan

“Sudah dua kali Tengku Puteri dan suaminya datang melawat lokasi,” kata Ahmad Idham yang mengakui terharu dengan sokongan yang diberikan itu.

Sementara itu, penerbit MMP, David Teo mengakui dia menyenangi sikap Ahmad Idham sebagai pengarah kerana kerjanya yang teliti.“Dia juga mempunyai pengalaman sebagai penerbit, jadi ia menyenangkan komunikasi antara kami kerana dia memahami susah senang seorang produser,” jelas David.

David optimis dengan sambutan orang ramai terhadap filem ke-20 terbitan MMP itu yang dijangka tayangannya pada musim cuti persekolahan akhir tahun ini.

“Kualiti adalah satu perkara yang subjektif. Apa yang utama akan ada penonton yang mahu ke panggung untuk menontonnya.Saya yakin filem ini mampu menarik minat audiens kerana walaupun ia menampilkan elemen humor tetapi ia tidak melupakan nilai artistik dan komersial.Lagipun ia bukan sahaja sesuai ditonton kanak-kanak tetapi juga remaja dan golongan dewasa termasuk ibu bapa.Jika saya boleh mengumpulkan audiens itu, filem ini mampu menjadi hits.”

Tomboy

Tentang Bulan menceritakan tentang kehidupan kanak-kanak di kampung, kenakalan mereka dan tentang impian masing-masing apabila dewasa.

Menggunakan teknik imbas kembali, Tentang Bulan bermula pada tahun 2006 apabila seorang gadis tiba di lapangan terbang dan menaiki teksi untuk kembali ke kampung halamannya bagi menghadiri majlis perkahwinan.Di dalam teksi itu si gadis terkenang kembali zaman kanak-kanaknya bersama lima orang sahabatnya iaitu Mawi, Bulat, Ketot, Budi dan Ila. Kehadiran Ina menyebabkan Ila rasa cemburu dan dilupakan kawan-kawannya yang ‘jatuh hati’ dengan keayuan Ina sedangkan dia bersifat tomboy.

Ila cuba berubah tetapi ditertawakan kawan-kawannya menyebabkan dia menyisihkan diri sehinggalah satu hari dia berpindah mengikut keluarganya ke tempat lain.Tetapi siapakah gadis di dalam teksi itu dan perkahwinan siapakah yang ingin dihadirinya? Mungkin apabila menatap gambar yang dipaparkan, anda sudah mengetahui Zed Zaidi dan Yana yang bersanding. Tetapi siapakah mereka?

“Dalam filem ini, kemunculan Zed Zaidi, Shajiry, Syean, Faiz dan Yana hanya untuk satu babak sementara Shahidatul pula untuk dua babak. Mengenai watak yang mereka bawa, anda kenalah menontonnya,” jelas Ahmad Idham.

Mengenai pemilihan judulnya, Ahmad Idham menjelaskan, “Simbolik filem ini ialah bagaimana bulan dijadikan sebagai tempat kanak-kanak melepaskan perasaan mereka.Di bawah pondok sambil merenung bulan, Mawi, Ila, Ketot, Gemuk, Ina dan Budi berjanji demi persahabatan masing-masing.Malah bulan juga menjadi tempat mereka melepaskan perasaan dan impian. Mawi, misalnya, bercerita tentang impiannya bergelar angkasawan pada malam bulan mengambang.”

   2 comments

malaysia web design
June 30, 2009   03:50 PM PDT
 
AKU SUKA FILEM TU
nina
June 2, 2008   12:30 PM PDT
 
i love this film..

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments